RIYADH: Banjir akibat hujan lebat melanda bahagian utara Arab Saudi sehingga memaksa penutupan jalan raya dan sekolah di tengah-tengah amaran perjalanan dikeluarkan Pusat Meteorologi Kebangsaan Saudi (NCM).

Rakaman dilaporkan Sky News dan media lain yang tular di laman media sosial menunjukkan banjir kilat yang bermula pada Isnin melanda wilayah Al-Ula dan Madinah dengan menyaksikan kenderaan hampir tenggelam dan dihanyutkan arus deras.

Rakaman yang dikongsi menunjukkan hujan lebat melanda berhampiran kawasan Masjid Al-Nabawi.

Pada Isnin, NCM mengeluarkan amaran tahap merah di wilayah Madinah sambil meramalkan hujan lebat dan ribut petir, angin kencang dan hujan batu turut berlaku di Al-Ula.

Bencana ini berlaku selepas banjir kilat melanda Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Oman baru-baru ini.

Pada November 2022, bandar Jeddah dilanda banjir kilat sehingga mengorbankan dua orang.

Difahamkan banjir yang berulang di bandar tersebut berpunca daripada kekurangan saliran mengalirkan air hujan. -Sinar Harian/Agensi